Luluhawa Kimia atau Luluhawa Dalaman Luluhawa

Istilah luluhawa dalaman di kawasan tropika lembap disamaertikan dengan luluhawa kimia. Oleh sebab itu, takrifan luluhawa dalaman adalah sama dengan takrifan luluhawa kimia. Ia merujuk kepada semua proses pereputan atau penguraian batuan apabila mineral batuan tersebut bertinak balas dengan air, asid, ion dan larutan-larutan sehingga mineral batuan tersebut bertukar dari peringkat primer kepada peringkat sekunder.

Dengan perkataan yang lebih mudah, ikatan antara mineral-mineral batuan akan terurai akibat tindak balas agen-agen luluhawa seperti air, asid, dan ion. Seterusnya batuan tersebut mengalami susutan, semakin mengecil dan menghasilkan bahan-bahan baru yang sama sekali berbeza dengan batuan asalnya seperti kejadian tanah laterit, tanah liat, dan lain-lain lagi.

Luluhawa dalaman atau luluhawa kimia amat berkesan di kawasan tropika lembap. Ini boleh dibuktikan melalui kewujudan lapisan regolit yang terhasil atau lebih ikenali sebagai zon terluluhawa. Zon terluluhawa dalaman adalah merujuk kepada ketebalan lapisan-lapisan batuan yang

Humus daripada cacing tanah membantu dalam proses luluhawa dalaman

menerima kesan luluhawa kimia. Ia terdiri daripada lapisan tanah-tanah laterit, lapisan tanah liat atau profil-profil regolit yang dikira ari lapisan atas permukaan tanah. Misalnya lapisan regolit yang dikaji oleh Kajian oleh Berry dan Ruxton (1957) di Hong Kong, mendapati setebal 60 meter yang merupakan zon terluluhawa dalaman di kawasan batu granit.

Proses-proses luluhawa kimia atau luluhawa dalaman

Terdapat enam proses utama yang terlibat dalam luluhawa kimia atau luluhawa dalaman iaitu:

  1. Proses larutan (solution)
  2. Proses pengkarbonan (carbonations)
  3. Proses hidrolisis
  4. Proses penghidratan (hydration)
  5. Proses pengoksidaan (oxidation)
  6. Proses chelasi

Proses larutan (solution)

Larutan merupakan proses asas dalam luluhawa dalaman. Terjadi akibat tindakan air hujan atau air larian yang bertindak sebagai pelarut. Air berupaya melarutkan mineral batuan yang mudah larut seperti gipsum dan kalsium karbonat (batu kapur) menjadi hasil larutan. Kuantiti hasil larutan ini bergantung kepada kuantiti air yang ada dan kadar kelarutan setiap mineral yang membentuk batu. Contohnya kalsium, natrium, dan magnesium mempunyai kadar kelarutan yang lebih tinggi berbanding dengan silika dan seskuioksida. Oleh sebab itu ia mudah dilarut dan tersingkir daripada jisim asalnya dalam bentuk larutan.

Proses pengkarbonan (carbonations)

Pengkarbonan merupakan sebarang tindak balas antara asid lemah (asid karbonik) dengan kalsium karbonat (batu kapur). Hujan yang turun akan berpadu dengan karbon dioksida di udara dan membentuk asid karbonik. Persamaan tindak balas kimia seperti di bawah.

H2O + CO2 → H2CO3

(Air) + (Karbon Dioksida) → (Asid Karbonik)

Asid karbonik inilah yang berupaya menguraikan batuan apabila ia bertindak balas dengan kalsium karbonat (batu kapur) menghasilkan larutan kalsium bikarbonat. Persamaan tindak balas kimia seperti di bawah.

H2CO3 + CaCO3 → Ca(HCO3)2

(Asid Karbonik) + (Kalsium Karbonat) → (Kalsium Bikarbonat)

Oleh sebab itu batu kapur lazimnya mudah mengalami luluhawa seumpama ini. Batuan lain juga mudah dikarbonkan seperti Dolomit dan kalium silikat atau potasy-felsfar.

Proses hidrolisis

Hidrolisis merupakan tindak balas antara ion hidrogen (H+) atau ion hidroksil (OH-) dengan ion mineral pembentuk batuan sehingga menyebabkan terhasil satu sebatian dan mineral yang berlainan. Proses ini bertanggungjawab menukar seluruh mineral batuan kepada bentuk baru (mineral peringkat kedua) yang berlainan sama sekali dengan sifat mineral asalnya. Ion hidrogen atau ion hidroksil yang menjadi agen peluluh ini dibekalkan oleh air hujan. Bagi mineral pembentuk batuan yang tidak stabil biasanya mudah diuraikan menerusi proses ini untuk membentuk kaolinit (tanah liat). Tindak balas hidrolisi bagi menghasilkan tanah liat boleh diringkaskan seperti berikut:

Orthoclase Feldsfar + Asid Karbonik + Air → Kalsium Karbonat + kaolin (Tanah Liat) + Kuartza

Dalam keadaan biasa tindak balas ini sukar diterbalikkan. Ertinya hasil proses hidrolisis adalah stabil dan kekal lama.

Proses penghidratan (hydration)

Proses penghidratan merujuk kepada sebarang penambahan air kepada mineral batuan sehingga menyebabkan mineral tersebut mengalami tegasan dan pengembangan. Contohnya besi oksida (ferum oksida) menyerap air menjadi besi hidroksida (ferum hidroksida). Contoh yang paling baik ialah penglibatan proses hidrasi ini ialah dalam kejadian limonit daripada hematit. Hematit yang berwarna merah akan bertukar menjadi limonit berwarna kuning apabila menyerap air. Persamaan kimianya seperti berikut:

2FeO2 + 3H2O → 2FeO2.3H2O
(Hematit Merah) → (Limonit Kuning) 

Proses pengoksidaan (oxidation)

Proses pengoksidaan merupakan tindak balas antara oksigen dengan kandungan mineral batuan yang menyebabkan mineral tersebut teroksida. Contohnya:

4Fe + 3O2 → 2Fe2O3

(Ferum) + (Oksigen) → (Ferum Oksida)

2Mg + O2 → 2MgO

(magnesium) + (Oksigen) → (Magnesium Oksida)

Proses pengoksidaan juga bukan sahaja melibatkan tindak balas antara unsur oksigen dengan mineral batuan. Sekiranya terdapat penyebatian sesama mineral di dalam batuan tersebut sehingga terdapat penyebatian daripadanya teroksida ia juga dipanggil sebagai pengoksidaan. Contohnya paduan antara ferum dengan sulfur menjadi ferum sulfid.

Proses chelasi

Chelasi merupakan proses pembendungan satu ion antara agen-agen luluhawa chelasi yang dikeluarkan oleh tumbuhan dengan ion mineral dalam batuan seperti ferum. Pembendungan ini menyebabkan batuan mengalami tegasan dan mengembang. Agen-agen chelasi boleh dikeluarkan oleh tumbuhan yang hidup di permukaan batuan seperti lumut dan kulampair. Semasa menyerap makanan dan zat galian menerusi akar higroskopnya tumbuhan tersebut akan mengeluarkan sejenis asid yang dikenali sebagai asi chelasi. Asid ini berupaya bertindak balas dengan ion mineral batuan menyebabkan mineral tersebut mengalami penguraian.